www.flickr.com

Monday, August 29, 2011

AMALAN-AMALAN SUNAT PADA 1 SHAWAL


(Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)
Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.
Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.
• Bertakbir.
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:
“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.
Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.
• Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.
• Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
 
• Makan sebelum solat Aidilfitri.
Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.
• Memakai pakaian yang indah.
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:
“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.
• Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
• Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.
 
• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.
• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
PENUTUP
Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.
 
 
Sekian, wasalam.
sprkpipm.blogspot.com
30 Ogos 2011/ 1 Shawal 1432 Hijrah

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin


Selamat menyambut 1 Shawal 1432 Hijrah..........Terima kasih kepada semua tenaga penggerak AJK KPR KPIPM dan seluruh ahli KPIPM Perak...Semoga Shawal ini memberi banyak erti yang bermanfaat buat kita semua setelah menerima PENDIDIKAN DI MADRASAH RAMADHAN 1432 HIJRAH......Barisan tenaga penggerak AJK KPR KPIPM menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada semua yang berhubungkait dengan pihak kami...Teruskan perjuangan kalin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Sekian, wasalam.

sprkpipm.blogspot.com
29 Ogos 2011

Saturday, August 27, 2011

PERATURAN AM PILIHANRAYA SPR KPIPM

Proses Pengundian
Proses Pengundian


Berikut adalah Peraturan Am Pilihanraya ( SPR KPIPM )
1-Pilihanraya adalah sebahagian daripada perlaksanaan Mesyuarat      Agung Tahunan KPIPM di Mesir.
2-Pilihanraya akan dijalankan serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan.
3-Pilihanraya akan memilih 9 orang AJKT KPIPM termasuk YANG DIPERTUA dan memilih seorang KETUA HEWI serta 9 orang AJK HEWI yang dipilih oleh ahli HEWI sahaja.
4-Tempat pembuangan undi adalah berasingan antara lelaki dan perempuan.
5-Hanya anggota KPIPM yang sah sahaja yang berhak mengundi.
6-Ahli yang terlibat dengan mana-mana persatuan atau pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh KPIPM tidak berhak diundi dan mengundi.
7-Hanya kertas undi bercop KPIPM dan ditandatangani oleh Pengarah dan Setiausaha AJK KHAS PILIHANRAYA sahaja yang dikira sah.
8-Kertas undi hendaklah dipenuhkan di tempat pembuangan undi yang telah ditetapkan.
9-Borang undi yang rosak tidak akan diganti.
10-Undi wakil dibolehkan dengan syarat:
  • Mengisi borang khas yang disediakan oleh AJK KHAS PILIHANRAYA.
  • Mewakili seorang sahaja.
  • Yang mewakilkan hendaklah memenuhi syarat yang telah ditetapkan serta yang mewakilkan hendaklah mempunyai keuzuran syari’e yang boleh diterima dan berada di Republik Arab Mesir serta mengemukakan surat yang menyatakan keuzurannya.
11-Kotak Pembuangan Undi akan dibuka berdasarkan masa yang ditetapkan oleh AJK KHAS PILIHANRAYA.
12-Sebarang bentuk kelewatan tidak akan diterima.
13-Undi adalah rahsia.
14-Sebarang kemusykilan hendaklah dirujuk kepada AJK KHAS PILIHANRAYA .
15-KEMPEN PILIHANRAYA dibenarkan dengan syarat-syarat seperti berikut:
  • Tidak memburuk dan menyentuh peribadi calon.
  • Tidak menyentuh perkara-perkara atau menimbulkan perkataan yang boleh membawa perpecahan dikalangan ahli semasa berkempen umpamanya isu kepartian dan sebagainya.
  • Menjaga tatasusila semasa berkempen.
  • Sesiapa yang ingin berkempen secara berkelompok dan menampal poster-poster, cogankata-cogankata, sepanduk-sepanduk di tempat-tempat perkumpulan mestilah mendapat kebenaran bertulis dari AJK KHAS PILIHANRAYA terlebih dahulu.
16-Sebarang perkara yang difikirkan perlu ditambah, bolehlah dilakukan mengikut budi bicara Pengarah dan Setiausaha AJK KHAS PILIHANRAYA.
———————————————————

sprkpipm.blogspot.com

KALAM SULUNG PENGARAH AJK KHAS PILIHANRAYA KPIPM 2011-2012

Watikah Perlatikan Jawatan
Watikah Perlatikan Jawatan Adalah Simbolik, Tetapi Memegang Jawatan Adalah Realiti
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh …
Sesungguhnya segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan dari-Nya, kami bertaubat dan memohon ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan-kejahatan diri kami dan keburukan-keburukan ‘amalan kami, sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan sesiapa yang disesatkan Allah maka tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya. Saya bersaksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sebarang sekutu bagi-Nya, dan saya bersaksi bahawasanya Baginda Nabi Muhammad SAW hamba dan rasul-Nya, kesejahteraan dan keselamatan Allah ke atasnya, serta atas ahli keluarga dan sahabatnya sekalian, para tabi’in serta seluruh pengikutnya.

Perubahan kepimpinan saban tahun silih berganti, melalui pilihanraya merupakan langkah dan jalan penyelesaian penting berbanding semua bentuk perubahan lain. Perubahan ini memerlukan pilihanraya yang dijalankan secara cekap, bebas, telus, amanah, adil lagi bersih. Bermula dengan penyeragaman keanggotaan ahli untuk disahkan dan berhak mengundi. Seterusnya setiap ahli sebagai pengundi berkempen dan membuat pangkahan di borang undi sekiranya berlaku pertandingan di hari mesyuarat agung. Akhir sekali dilakukan proses mengira dan mengisytiharkan pemenang. Proses lumrah yang sentiasa berlaku ini, menatijahkan penubuhan AHLI JAWATANKUASA KHAS PILIHANRAYA (AJK KPR) buat kali yang seterusnya, bagi melancarkan proses turun naik kepimpinan persatuan bagi sesi 2011/2012. Ini berdasarkan kepada Buku Perlembagaan Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir, BAB KEEMPAT : MESYUARAT AGUNG DAN PILIHANRAYA / BAHAGIAN KEDUA : PERKARA 21 – PILIHANRAYA  serta mengikut PERATURAN AM PILIHANRAYA yang dilampirkan.

Sehubungan dengan itu, AJK KPR yang telah dilantik, tampil bekerja dan berkhidmat, sebagai badan berkecuali dan bebas, patuh dan hormat kepada prinsip peralihan kuasa melalui pilihanraya yang bebas dan bersih, dan berikrar bahawa ahli adalah sumber kepada kuasa memilih kepimpinan dan akan menjamin hak semua ahli untuk terlibat dalam segala bentuk aktiviti yang berkaitan dalam proses pilihanraya selagimana memenuhi syarat-syarat serta tuntutan Perlembagaan KPIPM.

TAKLIFAN BUKAN TASYRIFAN
TAKLIFAN BUKAN TASYRIFAN
Akhir kalam, moga Allah SWT memberi kekuatan, kemudahan, petunjuk dan bimbingan kepada AJK KPR, dalam melaksanakan AMANAH BERAT ini, yang akan dipersoalkan jua di akhirat, dalam menatijahkan keputusan yang adil lagi saksama, untuk mendapatkan PEMIMPIN YANG BERAMANAH DAN BERTANGUNGJAWAB, serta bersedia untuk dipersoalkan di hari akhirat kelak, yang mana menjadi IDAMAN SEMUA AHLI. Maka sayugialah buat seluruh ahli, sebelum memangkah kertas undi, buatlah pilihan dan penilaian yang tepat, kenali calon-calon bakal kepimpinan dengan sematang-matangnya. Kerana, yang memilih pemimpin, juga merupakan satu AMANAH yang akan di pertanggungjawabkan di akhirat jua.

Selamat menjalankan tanggungjawab kepada semua Ahli KPIPM di Mesir.

Sekian, wassalam.

MOHD FIRDAUS BIN ABD RAZAK
PENGARAH,
AHLI JAWATANKUASA KHAS PILIHAN RAYA (AJK KPR)
Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir SESI 2011/2012

SENARAI NAMA AJK KPR KPIPM


CARTA ORGANISASI AJK KHAS PILIHANRAYA
KELUARGA PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2011-2012
—————————————————–


PENGARAH AJK KPR KPIPM
Mohd Firdaus Bin Abd Razak
——————————–
TIMBALAN PENGARAH
Norraudhah Hanum Binti Salim
————————————
SETIAUSAHA DAN BENDAHARI
Meor Mohamad Khairul Anuar Bin Hairudin
—————————–
TIMBALAN SETIAUSAHA DAN TIMBALAN BENDAHARI
Hishmah Zulfa Binti Khalid
———————————–
AJK KECIL
Amar Bin Jamaludin
Mohd Rasul Bin Abd Karim
Nur Khairul Jannah Binti Mohamad
Nurul Farhana Binti Md Ghazali



sprkpipm.blogspot.com

SEUNTAI KATA BERKAITAN PILIHANRAYA.

APA YANG PERLU KETAHUI BERKAITAN PILIHANRAYA
—————————————————————————
1. Pada asasnya dalam Islam, setiap amalan kebaikan atau yang membawa kebaikan maka pengamalnya memperolehi pahala. Begitu juga, setiap amalan buruk atau yang membawa keburukan maka pengamalnya memperolehi dosa. Besar atau kecil pahala dan dosa itu, bergantung kepada besar atau kecil kesan kebaikan atau keburukan sesuatu amalan. Maka, mengundi dalam pilihanraya boleh membawa kesan baik dan buruk kepada sesebuah masyarakat dan negara. Jika kesannya baik dan pengundi itu pula memang inginkan kebaikan tersebut, maka itu adalah amalan soleh. Jika kesan buruk dan pengundi tersebut memang inginkan kesan yang buruk itu, atau boleh menjangkanya, atau dia tidak peduli dengan buruk atau baik kesan undiannya itu, maka dia memperolehi dosa.
Parlimen Malaysia Lambang Kesuburan Sistem Demokrasi
Parlimen Malaysia Lambang Kesuburan Sistem Demokrasi
2. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dan al-Tirmizi).
Kata tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin ‘Uyainah (meninggal 198H)
“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman” (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Ya, berdasarkan hadis ini, sekalipun pengucapnya tidak menyangka sebegitu besar kesan ucapannya, atau menganggapnya kecil, namun disebabkan kesan baik dan buruk dari ucapannya itu, maka dia mungkin mendapat pahala, ataupun dosa. Hal ini samalah seperti undian dalam pilihanraya.
Proses Pengiraan Undi di Sebuah Universiti di Malaysia
Proses Pengiraan Undi di Sebuah Universiti di Malaysia
3. Maka undi juga bagaikan satu kalimat, bahkan mungkin lebih, yang mana ia boleh memberikan kuasa kepada seorang pemimpin yang baik atau kuasa untuk pemimpin yang jahat atau zalim atau tidak bertanggungjawab. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:
“Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kalimat itu konteks demokrasi adalah undi dalam pilihanraya. Seseorang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat.
4. Kita hendaklah sedar bahawa undian itu membawa maksud bersetuju memberikan mandat kepada seseorang bagi sesuatu kepimpinan. Maka, sebelum mandat tersebut hendak diberikan, wajib kita memastikan samada dia berkelayakan atau tidak. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).
Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah.
5. Untuk menentukan kelayakan seseorang itu, maka secara umumnya hendaklah dilihat kepada dua ciri yang penting yang disebut oleh al-Quran al-Qawiy (kuat atau mampu) dan al-Amin (amanah atau bertakwa). Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).
Dua ciri ini hendaklah dilihat dalam kerangka jawatan yang hendak diberikan. Jika jawatan itu membabitkan kewangan umpamanya, maka kemampuan dalam pengurusan kewangan dan digabungkan dengan nilai amanah dalam diri calon yang dilantik. Begitulah juga jawatan dalam bidang-bidang yang lain. Maka dilihat kemampuan calon dalam tanggungjawab yang hendak diberikan dan nilai amanah dalam dirinya.
Mesyuarat Tunjang Dalam Memperkasakan Organisasi
Mesyuarat Tunjang Dalam Memperkasakan Organisasi
6. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah:
“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan…al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”. (m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam)
7. Ertinya, sebelum seseorang itu mengundi, dia hendaklah memastikan individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab bagi jawatan tersebut dan mempunyai nilai amanah dalam diri yang tinggi. Jika tidak, bererti dia memberikan undinya kepada orang yang zalim yang akan mengkhianati tanggungjawab. Apatahlagi, jika calon itu memang sudah ada rekod buruk dalam tanggungjawabnya. Juga, hendaklah dipastikan kesan undi itu tidak membawa keburukan kepada negara secara umumnya. Allah berfirman: (maksudnya)
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113)
Mesyuarat adalah Mini Pilihanraya, Parlimen menjadi tempat Mesyuarat Perwakilan Negara
Mesyuarat adalah Mini Pilihanraya, Parlimen menjadi tempat Mesyuarat Perwakilan Negara
8. Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).
9. Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.

Sekian, terima kasih, Wasalam.

sprkpipm.blogspot.com

Friday, August 26, 2011

KEPIMPINAN ADALAH AMANAH

Kepemimpinan adalah amanah. Oleh karena itu amanah haruslah diberikan kepada orang yang tepat. Ada beberapa adab yang diperlukan dalam memilih pemimpin itu, diantaranya adalah :

  1. Berniat untuk memilih dia yang mampu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik;
  2. Memilih orang yang diketahui tidak meminta-minta jabatan; tidak memilih orang yang ambisius; Meminta-minta jawatan dengan tujuan buruk.
  3. Memilih orang yang berpegang pada hukum Allah, lagi jujur dan kuat;
  4. Memilih orang yang diperkirakan paling mampu memimpin dengan adil;
  5. Memilih orang yang tidak menutup diri saat diperlukan warganya;
  6. Mampu menjadi teladan, menasihati warganya, dan tidak menipu warganya;
  7. Memilih orang yang diperkirakan paling baik, dan bersih;
  8. Memilih orang yang bersifat santun;
  9. Memilih orang yang diperkirakan paling jujur, paling amanah.
Sumber : Hj. Yati Aryati

KALAM MUQADDIMAH sprkpipm.blogspot.com

Bismillah…

Permulaan rasmi bagi Weblog Rasmi AJK Khas Pilihan Raya KPIPM yang bermatlamatkan melicinkan perjalanan pemilihan AJKT KPIPM dan HEWI KPIPM samada melalui proses bertanding dalam pilihanraya atau proses menang tanpa bertanding.

AJK Khas Pilihanraya KPIPM atau nama lain SPR KPIPM berpegang kpd prinsip TELUS, ADIL dan AMANAH dalam mengambil tanggungjawab pemilihan AJKT KPIPM dan HEWI KPIPM yang mana akan ditanya oleh Allah swt kelak diatas kejujuran dan amanah kita dalam melaksanakan apa-apa tanggungjawab yang ditaklifkan. Sesungguhnya kelicinan proses AJK Khas Pilihanraya KPIPM dalam memilih jawatan memerlukan kerjasama semua pihak yang berhubung kait dengan persatuan KPIPM dan ahli KPIPM dalam menghormati peraturan, undang-undang dan etika sepanjang proses pemilihan AJKT KPIPM dan HEWI KPIPM berlangsung.

Ingin kami tegaskan di sini bahawasanya pihak kami berpaksikan atas etika TELUS, ADIL dan AMANAH sepanjang gerak kerja Pilihan Raya ini berlangsung. Keluhuran dan kesungguhan budi pekerti ahli-ahli KPIPM Mesir amat diperlukan dalam menjayakan PERATURAN AJK Khas Pilihan Raya KPIPM@SPR KPIPM. Insyaallah.
Sekian, terima kasih. Wasalam.


sprkpipm.blogspot.com